Thursday

Solat Berjemaah, Makan Berjemaah

 


Musim awal persekolahan ini tentunya membuatkan ibu bapa sibuk dengan kerenah anak-anak. Terutamanya bagi anak yang pertama kali bersekolah. Tak kira sekolah tadika mahupun darjah satu, rasanya  tetap sama. Teruja, bimbang, lega. Semua rasa berbaur.

Pilihan sekolah juga menjadi topik utama ibu bapa. Sekolah yang baik, yang popular, yang cemerlang, yang dekat dengan rumah atau tempat kerja, semua diambil kira. Semua keputusan yang diambil sudah pasti diharapkan yang terbaik untuk anak-anak.

Bagi saya sendiri, tahun 2013 merupakan tahun pertama anak yang sulong bersekolah dalam darjah satu.  Alhamdulillah dia tidak bermasalah ke sekolah. Sekolahnya agak jauh dari rumah, lebih kurang 11km. Jarak biasa saya kira bagi orang selalu berulang alik ke tempat kerja. Ramai juga yang tanya, kenapa pilih tempat jauh...?

Saya punya alasan sendiri. Antaranya sekolah tersebut adalah persekolahan satu sesi. Mula sesi pembelajaran dari jam 7.30 pagi hingga 4.00 petang. Makan, solat, mengaji, belajar, semua telah diatur di sekolah. Tambahan pula hanya pelajar yang terpilih sahaja dibenarkan masuk ke sekolah ini kerana perlu menduduki beberapa ujian.

Apa yang pasti, saya memilih sekolah ini kerana suasananya. Di sekolah, pelajar perlu Solat Dhuha berjemaah, Solat Zuhur berjemaah, makan berjemaah, hafazan dan mengaji Al-Quran semua diajar. Perkara yang susah kita nak dapat di sekolah kebangsaan biasa. Perkara yang saya ambil perhatian adalah makan secara berjemaah. Hal ini saya jarang praktikkan di rumah sedangkan makan secara berjemaah inilah yang sering mak, nenek dan atuk saya ajarkan sejak kecil. Bagi saya inilah punca eratnya silaturrahim antara kami sekeluarga tak kira adik beradik, sepupu sepapat, pakcik dan makcik. Kami memang akrab.

Waktu saya masih kecil, saya kerap makan menggunakan dulang, berkongsi dengan adik beradik, sepupu dan jiran-jiran. Itu yang saya jarang lihat sejak akhir-akhir ini. Mungkin di sekolah-sekolah agama sahaja yang biasa makan di dalam dulang. Anak saya yang sulong penggeli orangnya. Dia tak suka berkongsi sepinggan dengan orang lain hatta adik sendiri. Dia hanya boleh berkongsi dengan saya. Itulah perkara utama yang saya  pentingkan untuknya buat masa ini.

Nampak seolah-olah perkara kecil. Tapi di masa akan datang ia mungkin menjadi impak besar kepada sesuatu perkara jika tidak dididik dan diasuh dari sekarang. Semoga dia menjadi anak yang soleh dan segala perancangan mendapat berkat dan rahmat dari Allah.. Amin..

Wednesday

Didik Anak Solat

Kerap kali ada ibu bapa yang mengadu tentang tabiat pemakanan anak mereka. Kebanyakan kanak-kanak memang sukar makan sayur-sayuran. Mengikut kreativiti ibubapa, samada memujuk anak-anak, memotong sayur kepada pelbagai bentuk untuk menarik minat anak-anak atau menyorokkan potongan-potongan kecil sayur-sayuran di sebalik makanan yang biasa dimakan oleh mereka.

Bila berbual dengan sesetengah ibu, biasanya mereka akan paksa anak-anak mereka untuk makan sayur. Bimbang jika anak-anak kurang zat tumbesaran. Begitu juga saya, jika tak makan pujuk, saya akan paksa anak-anak makan sayur walaupun kuantitinya sedikit. Kanak-kanak sememangnya memerlukan zat dan vitamin yang mencukupi untuk membesar. Ini termasuklah vitamin-vitamin semulajadi yang ada dalam sayur-sayuran dan juga makanan yang lain seperti ikan, daging, telur dan sebagainya.

Sebagaimana pentingnya sayur-sayuran untuk tumbesaran jasmani dan fizikal kepada kanak-kanak sehingga kita memaksa mereka untuk memakannya, sepenting itulah halnya berkenaan didikan solat sebagai makanan rohani untuk anak-anak kita. Jika mereka tidak mahu bersolat, kita berhak untuk memaksa mereka bersolat. Mengajar untuk bersolat juga harus dilakukan di awal usia. Lebih awal, lebih mudah untuk dibentuk. Menurut Ustazah Isfadiah, kanak-kanak perlu diarah kerana mereka kosong dan sangat suci. Kitalah yang harus mencorakkan kain putih itu seindahnya.

Saya ingin berkongsi tip-tip bagaimana mendidik anak bersolat. Anda juga tentu punya cara tersendiri yang boleh dikongsikan..

1. Solat Secara Terang-terangan

Maksud saya di sini, kita jangan bersembunyi untuk solat di rumah. Ada sesetengah ibu bapa yang gemar mengurung diri ketika bersolat untuk mendapat privacy. Bagi saya dengan cara ini kita tidak dapat menunjukkan tarbiah bil hal kepada anak-anak. Pakar selalu menyebut, anak-anak akan mengikut apa yang ibu bapa lakukan di rumah kerana ibu bapa adalah guru yang utama dan terdekat. Oleh itu, jika kita bersolat secara sembunyi-sembunyi di rumah, kita tidak dapat mentarbiah anak secara tidak langsung.

2. Solat Berjemaah

Jadikan solat secara berjemaah antara aktiviti harian anda di rumah. Sekurang-kurangnya satu waktu sehari. Ketika solat berjemaah antara suami dan isteri, 'paksa' juga anak-anak anda untuk solat bersama. Lama-kelamaan mereka akan biasa dengan gerak-geri dalam solat dan seronok melakukannya.

3. Ke Masjid

Sekali-sekala bawalah anak anda ke masjid. Masjid adalah tempat yang sangat baik untuk mengajar anak bersolat. Di masjid orang akan datang untuk bersolat. Bagi anak-anak saya sendiri, walaupun semasa kuliah mereka kerap bermain, tetapi saya akan 'paksa' untuk solat ketika sampai waktu solat. Mereka akan terbiasa sendiri, orang lain solat dan mereka pun perlu solat!

4. Bacaan Dalam Solat

Galakkan anak-anak untuk menghafal bacaan-bacaan dalam solat. Pada peringkat ini saya bukan sahaja menggalakkan tetapi memaksa untuk menghafal. Kanak-kanak sangat mudah menerima ajaran, tersangat rugi jika kita tidak mengajar mereka sewaktu mereka masih kecil. Dalam masa satu hari mereka boleh menghafal sekurang-kurangnya satu surah jika dilakukan secara berterusan. In shaa Allah..

5. Kelengkapan Solat

Hadiahkan anak anda kelengkapan solat. Jika anda mempunyai anak lelaki, hadiahkan mereka sejadah dan kopiah. Anak perempuan pula boleh diberikan kain telekung yang cantik-cantik. Ini sudah sangat mengujakan mereka untuk bersolat.

6. Giliran Imam

Jika ramai anak, buatlah giliran untuk mereka bergilir-gilir menjadi imam. Kanak-kanak suka memimpin rakan-rakan atau adik beradik lain. Sesekali mereka harus diberi giliran untuk memegang 'pangkat' imam. sekadar untuk memberi mereka galakan. Dan tak salah kalau kita mendidik mereka untuk memegang jawatan itu secara adil.. Wallahua'lam..


 

 

Tuesday

Hiburan Masakini




Setiap hari Sabtu malam pasti saya nantikan rancangan ini. Kalau balik ke rumah mak, mak saya join sekali tanpa ganjak. Mak saya memang minat program ni. Kalau ada sepuluh kali ulangan pun, mak saya akan tonton setiap kali ditayangkan. Mana taknye...Ketua Marhaban kampung. Saya tahu feel tu. Saya pun sama. Memang minat lagu-lagu arab. Terutama qasidah burdah ni. Apa lagi kalau Alwi Mustafa yang dendangkan. Touching!

Sebelum kenal Alwi, saya sangat meminati suara Mawi, Jamal Abdillah dan M Nasir. Saya pernah bergurau dengan suami saya.

"Best suara Mawi ni kan bang.." Masa tu Mawi popular, lepas menang Akademi Fantasia.
"Hmmm...suara abang tak sedap."
"Eh! Tapi suara abang la yang paling sedap dalam dunia."
Suami saya tergelak.
"Ye la, suara Mawi best pun tapi Su tak rindu. Suara abang kalau tak dengar sehari, rasa tak lengkap. Tak boleh tidur."


Boleh dikatakan, sekarang ni semua bakal di Islamkan. Dulu memang susah nak tengok program hiburan yang Islamik macam ni. Muzik yang saya kenal dulu adalah rock, disko, ada juga nasyid sikit-sikit. Cuma tak mendapat tempat dalam siaran televisyen. Saya minat Aerosmith, Enrique Iglasias, Celine Dion. Semua yang seronok-seronok, yang leka-leka. Alhamdulillah...sekarang ni boleh mendengar qasidah hingga tahap menusuk kalbu. Boleh menitis airmata. Itulah fitrah insan, akan kembali kepada agama. Sejak TV Alhijrah diperkenal, bau wangi Islam itu kian tersebar. TV3 pun dah buat program realiti Dai'e. Alhamdulillah.=)

Macam-macam program ilmu ada di TV Alhijrah. Ada orang tak suka pergi majlis ilmu, tak suka dengar ceramah, tak suka bersosial di masjid-masjid. Jadi dengan adanya TV Alhijrah, banyak juga yang boleh dituai. Apapun, bagi saya sendiri, menonton ilmu televisyen tak sama dengan diri kita sendiri hadir di majlis ilmu itu. Rohnya tidak sama! Namun begitu, jika tidak berkesempatan ke majlis ilmu, carilah ilmu di televisyen, internet dan buku-buku. Semoga TV Alhijrah terus bertapak dengan manfaat yang lebih meriah.





Sunday

'INSTALL' PROGRAM DALAM MINDA ANAK

Assalamua'laikum..

Sudah agak lama saya membiarkan blog ni tanpa catatan. Sesekali saya yang melawat blog ni...sepi...

Hari ni saya nak kongsi berkenaan kaedah penyusuan. Mesti anda tertanya-tanya, apa kena mengena dengan install program pulak. Memang ada kena mengena! =)

Saya bukan la orang paling layak untuk berkongsi tentang kaedah penyusuan. Tapi, puan-puan terutamanya perlu mengambil perhatian tentang perkara yang kita lakukan semasa menyusukan bayi kita. Apa dia? Dah tentu sambil berbaring atau duduk sambil memangku bayi kan? Aktiviti lain? Contohnya, sambil menonton, sambil membaca, sambil mendengar radio, sambil berbual dan macam-macam aktiviti lain. Jadi apa kaitannya?

Perkara yang perlu diambil perhatian adalah:

Basmallah
Kadang-kadang bukan tak tahu, cuma terlupa je. Saya pun sama. Sejak anak yang pertama saya cuba untuk tidak lupa membaca Bismillahirrahmanirrahim sebelum memberi susu pada anak. Baca doa makan 'full version' pun boleh, siap dengan makna. Sambil bayi menyusu, sambil tu dia download doa yang kita bacakan tu. Kan senang nak ajar bila dia dah boleh bertutur nanti.

Zikrullah
Kalau menyusukan anak, dah tentu mengambil masa yang lama. Silap-silap kita pun boleh terlelap sama. Sebelum terlelap, kita berzikirlah. Moga-moga apa yang bayi kita dengar dapat membentuk peribadinya. Tak perlu yang susah-susah, cukuplah Laailahaillallah. Kalau hafal Asmaul Husna lagi bagus..=) Saya suka bercerita. Cerita la yang baik-baik pada anak..Apa saja kisah teladan yang anda tahu.

Tumpu Perhatian
Nak tumpu macamana? Nak tengok je bayi tu menyusu? =) Bukan..Yang ni lah yang saya nak kaitkan dengan tajuk di atas. Sedar atau tidak, kita adakalanya tak ambil perhatian tentang perkara lain yang kita lakukan semasa menyusukan bayi. Jika kita menonton, apa yang kita tonton. Jika kita membaca, apa yang kita baca. Jika kita mendengar radio, apa yang kita dengar. Jika kita berbual, apa yang kita bualkan. Pastikan semuanya yang baik-baik saja. Jangan menonton rancangan yang melalaikan, jangan mendengar radio yang melekakan, jangan berbual perkara yang buruk-buruk apalagi mengumpat!

Penting sangat ke nak ikut kaedah ni? Bagi saya, memang penting bagi sesiapa yang mahukan anaknya cemerlang. Memang penting sebab susu yang anak kita minum adalah dari badan kita. Dan sangat penting sebabnya bukan sedikit, tapi banyaknya faktor-faktor perlakuan ibu yang mencorakkan anak itu nanti.

Sambil menyusu, Ibu UPLOAD dan INSTALL program dalam minda anak-anak. Biar hanya kebaikan yang akan berlegar dalam mindanya.=)

Jom INSTALL!
http://www.youtube.com/watch?v=plaK29Bv5nU

Tuesday

BETAPA BESARNYA PENGARUH MEDIA DALAM JIWA ANAK-ANAK

Baru-baru ni, semasa heboh tentang isu sumpah, sumpah laknat dan sebagainya, ada satu peristiwa yang menjentik perasaan saya di sekolah. Perasaan bimbang, rasa hairan, rasa tanggungjawab dan sebagainya. Kiranya boleh dibuat laporan berbentuk anekdot kepada ibubapa dan pihak kementerian untuk diambil tindakan susulan. Bagaimana kanak-kanak merumuskan isu ini dari segi pandangan dan kefahaman mereka.

Seperti biasa, selepas saya selesai memberi tunjuk ajar dan tugasan kepada murid-murid, saya juga menyiapkan sedikit kerja saya. Semasa dalam proses menyiapkan kerja, saya terdengar perbualan beberapa orang anak murid saya. Tapi tak berapa pasti pangkal perbualannya.

"Irfan, betul ke?"
"Betul..."
"Tak tipu?"
"Tak.."
"Sumpah?"
"Sumpah..."
"Sumpah Al-Quran?"
"Iye laa...cuba tanya Aiman.." Irfan menekan suara, tak mengaku tuduhan.

Saya menyampuk. Ketawa mendengar celoteh mereka.

"Amboi...banyaknya confirmation Hazim. Mana dengar sumpah-sumpah Al-Quran ni?"
Hazim tersengih-sengih. Malu.

Apa yang membimbangkan tentang isu ini ialah mengenai kefahaman dan aqidah anak-anak kecil. Sedang orang dewasa sahaja, susah untuk memahami isu ini jika tidak bertanya kepada yang arif. Lagikan anak kecil yang hanya tahu menggunakan logik akal semata-mata. Bagi mereka, Al-Quran sangat suci. Sebab itu mereka mengaitkan, kalau nak mengaku kita tak buat salah dengan Al-Quran, kerana kalau tipu, berdosa. Al-Quran dianggap sebagai saksi.

Sepanjang pengetahuan saya, sumpah hanya berkait dalam hal zihar dan li'an, seorang suami terhadap isteri. Sebaliknya, jika kita melakukan dosa seperti mencuri, merompak, zina, Allah tidak suruh pun bersumpah, tetapi bertaubat. Masyarakat zaman sekarang lebih cenderung untuk mengikut sifat fasiq dan munafiq. Semuanya kerana tak mahu belajar, tak nak mendengar. Perkara sumpah diambil serius, perkara aurat, soal pergaulan, soal hina agama ditolak tepi. Taknak pulak ikut ajaran Islam.

Itu baru isu sumpah. Belum tentang perempuan seksi, lagu yang entah apa-apa, kartun-kartun yang menghina. Takut nanti jadi budaya. Lebih-lebih lagi zaman yang menekan sekarang ni, ibubapa tak sempat memantau anak-anak sebab sibuk bekerja. Soal aqidah anak-anak sangat bahaya kalau dibiarkan. Saya secara peribadi amat tidak berpuashati dengan kebanyakan media yang menyiarkan cerita dan berita karut. Bukan semua, tapi banyak. 

Satu petang saya bertanyakan kepada anak murid saya.

"Suka tengok iklan? Cuba bagitahu cikgu iklan mana yang tak ada orang perempuan?

Mereka berfikir-fikir. Saya rasa memang tak ada. Kalau ada pun boleh dikira dengan jari. Perempuan sangat banyak digunakan dalam iklan-iklan media. Perempuan juga sangat banyak yang suka dipergunakan. Memperaga kecantikan. Memang cantik. Memang cantik bahan api ini!

Kepada yang dah jadi ibubapa, jagalah anak kalian. Jaga aqidahnya. Soal pemakaian, soal pergaulan juga soal kehidupan. Jadikan Islam sebagai cara hidup. Moga tidak mudah terpengaruh dengan godaan dunia. Kerana dunia sekarang sangat menggoda!