Thursday

Solat Berjemaah, Makan Berjemaah

 


Musim awal persekolahan ini tentunya membuatkan ibu bapa sibuk dengan kerenah anak-anak. Terutamanya bagi anak yang pertama kali bersekolah. Tak kira sekolah tadika mahupun darjah satu, rasanya  tetap sama. Teruja, bimbang, lega. Semua rasa berbaur.

Pilihan sekolah juga menjadi topik utama ibu bapa. Sekolah yang baik, yang popular, yang cemerlang, yang dekat dengan rumah atau tempat kerja, semua diambil kira. Semua keputusan yang diambil sudah pasti diharapkan yang terbaik untuk anak-anak.

Bagi saya sendiri, tahun 2013 merupakan tahun pertama anak yang sulong bersekolah dalam darjah satu.  Alhamdulillah dia tidak bermasalah ke sekolah. Sekolahnya agak jauh dari rumah, lebih kurang 11km. Jarak biasa saya kira bagi orang selalu berulang alik ke tempat kerja. Ramai juga yang tanya, kenapa pilih tempat jauh...?

Saya punya alasan sendiri. Antaranya sekolah tersebut adalah persekolahan satu sesi. Mula sesi pembelajaran dari jam 7.30 pagi hingga 4.00 petang. Makan, solat, mengaji, belajar, semua telah diatur di sekolah. Tambahan pula hanya pelajar yang terpilih sahaja dibenarkan masuk ke sekolah ini kerana perlu menduduki beberapa ujian.

Apa yang pasti, saya memilih sekolah ini kerana suasananya. Di sekolah, pelajar perlu Solat Dhuha berjemaah, Solat Zuhur berjemaah, makan berjemaah, hafazan dan mengaji Al-Quran semua diajar. Perkara yang susah kita nak dapat di sekolah kebangsaan biasa. Perkara yang saya ambil perhatian adalah makan secara berjemaah. Hal ini saya jarang praktikkan di rumah sedangkan makan secara berjemaah inilah yang sering mak, nenek dan atuk saya ajarkan sejak kecil. Bagi saya inilah punca eratnya silaturrahim antara kami sekeluarga tak kira adik beradik, sepupu sepapat, pakcik dan makcik. Kami memang akrab.

Waktu saya masih kecil, saya kerap makan menggunakan dulang, berkongsi dengan adik beradik, sepupu dan jiran-jiran. Itu yang saya jarang lihat sejak akhir-akhir ini. Mungkin di sekolah-sekolah agama sahaja yang biasa makan di dalam dulang. Anak saya yang sulong penggeli orangnya. Dia tak suka berkongsi sepinggan dengan orang lain hatta adik sendiri. Dia hanya boleh berkongsi dengan saya. Itulah perkara utama yang saya  pentingkan untuknya buat masa ini.

Nampak seolah-olah perkara kecil. Tapi di masa akan datang ia mungkin menjadi impak besar kepada sesuatu perkara jika tidak dididik dan diasuh dari sekarang. Semoga dia menjadi anak yang soleh dan segala perancangan mendapat berkat dan rahmat dari Allah.. Amin..

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.