Thursday

Solat Berjemaah, Makan Berjemaah

 


Musim awal persekolahan ini tentunya membuatkan ibu bapa sibuk dengan kerenah anak-anak. Terutamanya bagi anak yang pertama kali bersekolah. Tak kira sekolah tadika mahupun darjah satu, rasanya  tetap sama. Teruja, bimbang, lega. Semua rasa berbaur.

Pilihan sekolah juga menjadi topik utama ibu bapa. Sekolah yang baik, yang popular, yang cemerlang, yang dekat dengan rumah atau tempat kerja, semua diambil kira. Semua keputusan yang diambil sudah pasti diharapkan yang terbaik untuk anak-anak.

Bagi saya sendiri, tahun 2013 merupakan tahun pertama anak yang sulong bersekolah dalam darjah satu.  Alhamdulillah dia tidak bermasalah ke sekolah. Sekolahnya agak jauh dari rumah, lebih kurang 11km. Jarak biasa saya kira bagi orang selalu berulang alik ke tempat kerja. Ramai juga yang tanya, kenapa pilih tempat jauh...?

Saya punya alasan sendiri. Antaranya sekolah tersebut adalah persekolahan satu sesi. Mula sesi pembelajaran dari jam 7.30 pagi hingga 4.00 petang. Makan, solat, mengaji, belajar, semua telah diatur di sekolah. Tambahan pula hanya pelajar yang terpilih sahaja dibenarkan masuk ke sekolah ini kerana perlu menduduki beberapa ujian.

Apa yang pasti, saya memilih sekolah ini kerana suasananya. Di sekolah, pelajar perlu Solat Dhuha berjemaah, Solat Zuhur berjemaah, makan berjemaah, hafazan dan mengaji Al-Quran semua diajar. Perkara yang susah kita nak dapat di sekolah kebangsaan biasa. Perkara yang saya ambil perhatian adalah makan secara berjemaah. Hal ini saya jarang praktikkan di rumah sedangkan makan secara berjemaah inilah yang sering mak, nenek dan atuk saya ajarkan sejak kecil. Bagi saya inilah punca eratnya silaturrahim antara kami sekeluarga tak kira adik beradik, sepupu sepapat, pakcik dan makcik. Kami memang akrab.

Waktu saya masih kecil, saya kerap makan menggunakan dulang, berkongsi dengan adik beradik, sepupu dan jiran-jiran. Itu yang saya jarang lihat sejak akhir-akhir ini. Mungkin di sekolah-sekolah agama sahaja yang biasa makan di dalam dulang. Anak saya yang sulong penggeli orangnya. Dia tak suka berkongsi sepinggan dengan orang lain hatta adik sendiri. Dia hanya boleh berkongsi dengan saya. Itulah perkara utama yang saya  pentingkan untuknya buat masa ini.

Nampak seolah-olah perkara kecil. Tapi di masa akan datang ia mungkin menjadi impak besar kepada sesuatu perkara jika tidak dididik dan diasuh dari sekarang. Semoga dia menjadi anak yang soleh dan segala perancangan mendapat berkat dan rahmat dari Allah.. Amin..

Wednesday

Didik Anak Solat

Kerap kali ada ibu bapa yang mengadu tentang tabiat pemakanan anak mereka. Kebanyakan kanak-kanak memang sukar makan sayur-sayuran. Mengikut kreativiti ibubapa, samada memujuk anak-anak, memotong sayur kepada pelbagai bentuk untuk menarik minat anak-anak atau menyorokkan potongan-potongan kecil sayur-sayuran di sebalik makanan yang biasa dimakan oleh mereka.

Bila berbual dengan sesetengah ibu, biasanya mereka akan paksa anak-anak mereka untuk makan sayur. Bimbang jika anak-anak kurang zat tumbesaran. Begitu juga saya, jika tak makan pujuk, saya akan paksa anak-anak makan sayur walaupun kuantitinya sedikit. Kanak-kanak sememangnya memerlukan zat dan vitamin yang mencukupi untuk membesar. Ini termasuklah vitamin-vitamin semulajadi yang ada dalam sayur-sayuran dan juga makanan yang lain seperti ikan, daging, telur dan sebagainya.

Sebagaimana pentingnya sayur-sayuran untuk tumbesaran jasmani dan fizikal kepada kanak-kanak sehingga kita memaksa mereka untuk memakannya, sepenting itulah halnya berkenaan didikan solat sebagai makanan rohani untuk anak-anak kita. Jika mereka tidak mahu bersolat, kita berhak untuk memaksa mereka bersolat. Mengajar untuk bersolat juga harus dilakukan di awal usia. Lebih awal, lebih mudah untuk dibentuk. Menurut Ustazah Isfadiah, kanak-kanak perlu diarah kerana mereka kosong dan sangat suci. Kitalah yang harus mencorakkan kain putih itu seindahnya.

Saya ingin berkongsi tip-tip bagaimana mendidik anak bersolat. Anda juga tentu punya cara tersendiri yang boleh dikongsikan..

1. Solat Secara Terang-terangan

Maksud saya di sini, kita jangan bersembunyi untuk solat di rumah. Ada sesetengah ibu bapa yang gemar mengurung diri ketika bersolat untuk mendapat privacy. Bagi saya dengan cara ini kita tidak dapat menunjukkan tarbiah bil hal kepada anak-anak. Pakar selalu menyebut, anak-anak akan mengikut apa yang ibu bapa lakukan di rumah kerana ibu bapa adalah guru yang utama dan terdekat. Oleh itu, jika kita bersolat secara sembunyi-sembunyi di rumah, kita tidak dapat mentarbiah anak secara tidak langsung.

2. Solat Berjemaah

Jadikan solat secara berjemaah antara aktiviti harian anda di rumah. Sekurang-kurangnya satu waktu sehari. Ketika solat berjemaah antara suami dan isteri, 'paksa' juga anak-anak anda untuk solat bersama. Lama-kelamaan mereka akan biasa dengan gerak-geri dalam solat dan seronok melakukannya.

3. Ke Masjid

Sekali-sekala bawalah anak anda ke masjid. Masjid adalah tempat yang sangat baik untuk mengajar anak bersolat. Di masjid orang akan datang untuk bersolat. Bagi anak-anak saya sendiri, walaupun semasa kuliah mereka kerap bermain, tetapi saya akan 'paksa' untuk solat ketika sampai waktu solat. Mereka akan terbiasa sendiri, orang lain solat dan mereka pun perlu solat!

4. Bacaan Dalam Solat

Galakkan anak-anak untuk menghafal bacaan-bacaan dalam solat. Pada peringkat ini saya bukan sahaja menggalakkan tetapi memaksa untuk menghafal. Kanak-kanak sangat mudah menerima ajaran, tersangat rugi jika kita tidak mengajar mereka sewaktu mereka masih kecil. Dalam masa satu hari mereka boleh menghafal sekurang-kurangnya satu surah jika dilakukan secara berterusan. In shaa Allah..

5. Kelengkapan Solat

Hadiahkan anak anda kelengkapan solat. Jika anda mempunyai anak lelaki, hadiahkan mereka sejadah dan kopiah. Anak perempuan pula boleh diberikan kain telekung yang cantik-cantik. Ini sudah sangat mengujakan mereka untuk bersolat.

6. Giliran Imam

Jika ramai anak, buatlah giliran untuk mereka bergilir-gilir menjadi imam. Kanak-kanak suka memimpin rakan-rakan atau adik beradik lain. Sesekali mereka harus diberi giliran untuk memegang 'pangkat' imam. sekadar untuk memberi mereka galakan. Dan tak salah kalau kita mendidik mereka untuk memegang jawatan itu secara adil.. Wallahua'lam..