Tuesday

BETAPA BESARNYA PENGARUH MEDIA DALAM JIWA ANAK-ANAK

Baru-baru ni, semasa heboh tentang isu sumpah, sumpah laknat dan sebagainya, ada satu peristiwa yang menjentik perasaan saya di sekolah. Perasaan bimbang, rasa hairan, rasa tanggungjawab dan sebagainya. Kiranya boleh dibuat laporan berbentuk anekdot kepada ibubapa dan pihak kementerian untuk diambil tindakan susulan. Bagaimana kanak-kanak merumuskan isu ini dari segi pandangan dan kefahaman mereka.

Seperti biasa, selepas saya selesai memberi tunjuk ajar dan tugasan kepada murid-murid, saya juga menyiapkan sedikit kerja saya. Semasa dalam proses menyiapkan kerja, saya terdengar perbualan beberapa orang anak murid saya. Tapi tak berapa pasti pangkal perbualannya.

"Irfan, betul ke?"
"Betul..."
"Tak tipu?"
"Tak.."
"Sumpah?"
"Sumpah..."
"Sumpah Al-Quran?"
"Iye laa...cuba tanya Aiman.." Irfan menekan suara, tak mengaku tuduhan.

Saya menyampuk. Ketawa mendengar celoteh mereka.

"Amboi...banyaknya confirmation Hazim. Mana dengar sumpah-sumpah Al-Quran ni?"
Hazim tersengih-sengih. Malu.

Apa yang membimbangkan tentang isu ini ialah mengenai kefahaman dan aqidah anak-anak kecil. Sedang orang dewasa sahaja, susah untuk memahami isu ini jika tidak bertanya kepada yang arif. Lagikan anak kecil yang hanya tahu menggunakan logik akal semata-mata. Bagi mereka, Al-Quran sangat suci. Sebab itu mereka mengaitkan, kalau nak mengaku kita tak buat salah dengan Al-Quran, kerana kalau tipu, berdosa. Al-Quran dianggap sebagai saksi.

Sepanjang pengetahuan saya, sumpah hanya berkait dalam hal zihar dan li'an, seorang suami terhadap isteri. Sebaliknya, jika kita melakukan dosa seperti mencuri, merompak, zina, Allah tidak suruh pun bersumpah, tetapi bertaubat. Masyarakat zaman sekarang lebih cenderung untuk mengikut sifat fasiq dan munafiq. Semuanya kerana tak mahu belajar, tak nak mendengar. Perkara sumpah diambil serius, perkara aurat, soal pergaulan, soal hina agama ditolak tepi. Taknak pulak ikut ajaran Islam.

Itu baru isu sumpah. Belum tentang perempuan seksi, lagu yang entah apa-apa, kartun-kartun yang menghina. Takut nanti jadi budaya. Lebih-lebih lagi zaman yang menekan sekarang ni, ibubapa tak sempat memantau anak-anak sebab sibuk bekerja. Soal aqidah anak-anak sangat bahaya kalau dibiarkan. Saya secara peribadi amat tidak berpuashati dengan kebanyakan media yang menyiarkan cerita dan berita karut. Bukan semua, tapi banyak. 

Satu petang saya bertanyakan kepada anak murid saya.

"Suka tengok iklan? Cuba bagitahu cikgu iklan mana yang tak ada orang perempuan?

Mereka berfikir-fikir. Saya rasa memang tak ada. Kalau ada pun boleh dikira dengan jari. Perempuan sangat banyak digunakan dalam iklan-iklan media. Perempuan juga sangat banyak yang suka dipergunakan. Memperaga kecantikan. Memang cantik. Memang cantik bahan api ini!

Kepada yang dah jadi ibubapa, jagalah anak kalian. Jaga aqidahnya. Soal pemakaian, soal pergaulan juga soal kehidupan. Jadikan Islam sebagai cara hidup. Moga tidak mudah terpengaruh dengan godaan dunia. Kerana dunia sekarang sangat menggoda!



Monday

LATIH ANAK KE TANDAS

Seorang sahabat bertanya kepada saya:


“Su, Zuhri pakai pampers lagi?”
Dia merujuk kepada anak saya yang kedua, berumur 3 tahun.
“Tak, anak saya start 2 tahun setengah dah tak pakai pampers siang dan malam. Zihni pun macam tu dulu.”
“Awak train macamana?”
“Saya ajar guna toilet la.” Saya beritahu cara saya ajar anak gunakan tandas.

Biasanya alasan ibu-ibu ni ialah mereka bekerja dan tak sempat nak train anak-anak gunakan tandas. Saya juga bekerja. Saya latih anak saya bila saya berada di rumah sepanjang hari, kalau di rumah mak saya akan pakaikan pampers sebab tak nak menyusahkan mak. Lagipun mak dah tolong jagakan anak saya.

Cara saya, mula-mula saya tak pakaikan pampers pada anak saya. Saya beritahu mereka supaya kalau rasa nak kencing atau berak, beritahu mama cepat-cepat. Setengah jam atau sejam sekali saya akan ajak mereka ke toilet. Pada peringkat awal memang banyak cabaran. Ada juga terlepas. Lebih-lebih lagi semasa melatih anak saya yang pertama. Zihni seorang yang ‘penggeli’. Dia tak boleh buang air besar dalam toilet. Kalau rasa nak buang air besar, dia akan minta saya pakaikan pampers. Saya ikutkan sampai umurnya 3 tahun. Dalam masa yang sama saya ajarkan juga supaya dia jadi orang yang pembersih, supaya dia tak rasa selesa lagi buang air besar dalam pampers.

Dua minggu sekali saya akan angkat kaki mereka di atas dan kepala di bawah. Tujuannya supaya pundi kencing tidak turun ke bawah yang menyebabkan mereka sering nak terkencing. Saya tak berapa pasti teori ni betul atau tidak. Kalau orang perempuan, bila rasa sakit perut atau selalu rasa nak terkencing, tandanya rahim turun ke bawah. Mereka perlu diurut untuk naikkan rahim atau kata lain, sengkak. So, saya gunakan teori yang sama. Budak-budak suka berlari-lari dan melompat-lompat dan ini menyebabkan pundi kencing mereka akan turun sedikit. Kadang-kadang mereka belum pandai mengawal rasa nak kencing, lalu terkencing tanpa sempat ke toilet.

Seterusnya, bila kita dah latih dan ajar mereka, kita kena percaya pada mereka. Secara automatik, anak kita akan terjaga tengah malam kalau rasa nak kencing. Ia berlaku pada anak-anak saya. Cuma kena rajin bangun malam untuk bawa anak ke tandas. Jangan risau, sebab bila semakin besar, anak yang kita latih ni akan kurang ke tandas. Mungkin dah boleh mengawal rasa nak kencing tu tadi. Ramai juga ibu bapa yang malas nak melayan anak ke tandas. Akhirnya, dah penat-penat latih, dipakaikan juga pampers pada anak tu. Sebab tak percaya pada si anak tadi dan malas nak mengelap dan mengemop kalau-kalau anak terkencing di ruang tamu. Penat! Mana ada kerja senang nak didik anak. Lebih-lebih lagi anak orang, yang berlainan didikan dan latarbelakang.

Cuba la cara ni. Selain memudahkan kita, ia juga dapat menjimatkan duit untuk beli pampers. Yang penting, rajin! Dan percayalah kepada anak kita…










“KENAPA TAK EXERCISE?”

Kisah ini berlaku sewaktu saya masih di tadika lama, di Nilai, Negeri Sembilan. Saya mengajar pelajar enam tahun pada sesi pagi, dan Cikgu Sarimah mengajar Pra-Tahfiz pada sesi petang. Namun begitu saya kerap juga datang menjenguk pada waktu petang. Tengok kalau-kalau ada yang perlu dibantu.

Satu petang bila saya melangkah sahaja masuk ke dalam tadika, Cikgu Sarimah mengadu pada saya.

“Su, su nak tau tak…malu akak tadi..”
“Kenapa pulak?” soal saya.
“Tadi kan…ayah Aziq datang ambik Aziq. Masa ayah dia tengah tunggu depan pintu tu, akak ambik la beg dia. Pastu si kembar ni kan dia cakap la sesame dia…e’eh..ayah aziq datang la, ayah aziq pendekkan, yang si adik pun cakap..a’ah la, ayah aziq pendek. Pastu kan su, diorang pegi dekat-dekat dengan ayah aziq, diorang tanya, kenapa uncle pendek? Kenapa tak exercise? Akak pun panggil diorang cepat-cepat bagi terus beg aziq. Akak rotan sikit budak2 ni, bagitau la tak elok cakap macam tu kat orang tua, tak baik.”

Saya tergelak sakan mendengar cerita Cikgu Sarimah. Habis nak buat macamana. Budak-budak memang begitu. Mereka akan cakap apa yang mereka lihat.

“Su ni, gelak-gelak jugak. Malu tau tadi, nanti ayah Aziq ingat cikgu yang cakap..” Cikgu Sarimah tersengih-sengih menegur saya. Saya panggil si kembar, Najwan dan Izzat. Nasihatkan mereka. Mereka tak dengar pun, tapi saya tahu ada sedikit yang masuk ke dalam hati mereka.

Apa yang saya nak ‘highlight’kan di sini bukanlah pasal teguran budak tu kepada orang yang lebih tua daripada mereka. Tetapi tentang komen anak-anak kecil ini beserta dengan cadangan. Mungkin mereka rasa dengan exercise dapat meningkatkankan ukuran tinggi seseorang. Walaupun fakta itu mereka tidak tahu tepat dan betul atau tidak. Cadangan mereka masih baik dan penting.

Bukan seperti sesetengah orang dewasa yang hanya tahu komen dan beritahu salah orang. Tetapi tak tahu macamana memberi saranan atau cadangan yang baik supaya kekurangan itu diperbaiki.

Tuesday

MEMOTIVASIKAN JIWA ANAK-ANAK


Saya hebat! Saya boleh lakukan…! Hiyaahh…!

Itu adalah ayat motivasi biasa anak saya yang sulong, Zihni, bila dia bermain atau berangan-angan dalam dunianya sendiri. Selain terpengaruh dengan drama kanak-kanak, ‘Kapten Boleh’ di Astro Ceria, saya dan suami juga selalu mengucapkan ‘Zihni hebat’ kepadanya. Dia suka diberikan pujian, dibelai-belai dan diucapkan kata ‘hebat’ bila dia melakukan sesuatu perkara yang baik. Kalau dia merajuk atau tiba-tiba nak mengamuk, saya atau suami akan kata:
 

“Zihni kan hebat, kena la buat perangai elok-elok..”

Serta-merta hatinya yg membatu tadi akan lembut. Bagi saya, kata-kata motivasi amat penting untuk kanak-kanak. Bukan sekadar ucapan-ucapan kosong yang mungkin baik, tetapi adalah kata motivasi dan semangat! Kata-kata motivasi sangat baik untuk membina kepercayaan diri kepada kanak-kanak. Ianya akan membantu mereka berdikari dalam melakukan sesuatu perkara dan juga dalam banyak keadaan. Dalam masa yang sama keyakinan diri akan terbina secara automatic.

Sifat yakin diri akan mencetuskan beberapa lagi sifat positif yang lain. Kanak-kanak akan jadi lebih berani, tidak pemalu (malu bertempat), sentiasa ingin mencuba, sukakan cabaran dan suka mencari-cari dan mengambil tahu perkara baru yang mereka belum tahu. Sifat ini amat baik bagi perkembangan kanak-kanak. Perkara baru yang mereka tahu adalah ilmu baru yang mereka perolehi. Samada baik atau buruk, bergantung kepada factor persekitaran dan pengaruh minda mereka. Oleh sebab itu, sebagai ibu bapa atau golongan yang mengasuh atau mendidik mereka, sebaiknya minda mereka yang paling utama perlu diasuh.

Saya mempunyai seorang anak murid yang mengalami proses motivasi sejak awal kemasukannya di sekolah dulu. Dia seorang yang lasak, dari segi pembelajaran dia tidak ketinggalan tapi agak lambat memperolehi apa yang diajarkan. Berbanding pelajar lain yang seumur dengannya, dia agak terkebelakang. Semasa sesi persekolahan bermula pada awal tahun dulu, dia sering menangis ke sekolah, mengamuk, sampai seorang guru saya pernah ditendang olehnya diperut. Mujur guru itu tidak hamil.

Setiap hari dia perlu dipujuk. Ibu atau bapanya perlu menuruti apa yang dimahukannya sebelum sampai ke sekolah. Bila sampai di sekolah, dia akan memberi banyak alasan supaya dia tidak mengikuti aktiviti yang dibuat di sekolah. Saya bertanya pada ibunya bagaimana cara memujuk di rumah. Dia perlu dibelai, dipuji-puji.

Saya melayan kehendaknya pada minggu pertama. Saya biarkan jika dia mahu tidur, main atau makan. Walaubagaimanapun dia perlu mengikut peraturan sekolah. Saya ajak dia berbual-bual.
 
“Aiman suka tak datang sekolah?”
Dia mengangguk, dan menjawab..
“Dulu Aiman pergi sekolah dengan abang..”
“Sayang ibu?”
Angguk.
“Sayang ayah?”
Angguk lagi.
“Ok, kalau Aiman sayang ibu dengan ayah, Aiman kena belajar betul-betul tau.”
“Cikgu, ibu Aiman kata nanti Aiman sekolah kat pondok.”
“Ooo…Aiman nak jadi ustaz ye?”
Aiman angguk tersenyum.
“Kalau nak jadi ustaz lagi kena belajar pandai-pandai, kena tau semua. Nampak tak ibu Aiman bagi duit kat cikgu tadi? Ibu Aiman bagi upah kat cikgu, suruh cikgu ajarkan dan jaga Aiman. Kesian ibu, cari duit untuk Aiman sekolah, tapi Aiman asyik nangis je. Kesian kan? Sebab tu kat sini Aiman kena dengar cakap cikgu dan ikut peraturan sekolah. Baru cepat pandai…” Saya mengelus-elus kepalanya.
Aiman tersengih-sengih.
“Aiman kan hebat, rajin, pandai. Jadi lepas ni taknak nangis lagi, jangan mengamuk-amuk datang sekolah ye..?! Janji tau..”
Aiman mengangguk-anggukkan kepala lagi.


Selepas daripada itu, dia tidak menangis lagi ke sekolah. Semakin hari sikapnya semakin baik dan sopan, walaupun agak lasak. Biasalah…budak lelaki. Bila dia buat perangai, guru-guru akan kata ‘Aiman kan hebat’. Aiman semakin rajin, hinggakan semua cikgu puji dan sayang padanya. Bersungguh-sungguh dia belajar, walaupun belum masanya dia mendapat apa yang dipelajari. Begitu berkesannya kata-kata motivasi dalam jiwa anak-anak. Mungkin juga makbulnya doa ibu bapa mereka. Saya doakan agar anak-anak yang pernah belajar dengan saya menjadi hamba Allah, anak yang soleh dan solehah. Wallahua’lam…