Tuesday

MEMOTIVASIKAN JIWA ANAK-ANAK


Saya hebat! Saya boleh lakukan…! Hiyaahh…!

Itu adalah ayat motivasi biasa anak saya yang sulong, Zihni, bila dia bermain atau berangan-angan dalam dunianya sendiri. Selain terpengaruh dengan drama kanak-kanak, ‘Kapten Boleh’ di Astro Ceria, saya dan suami juga selalu mengucapkan ‘Zihni hebat’ kepadanya. Dia suka diberikan pujian, dibelai-belai dan diucapkan kata ‘hebat’ bila dia melakukan sesuatu perkara yang baik. Kalau dia merajuk atau tiba-tiba nak mengamuk, saya atau suami akan kata:
 

“Zihni kan hebat, kena la buat perangai elok-elok..”

Serta-merta hatinya yg membatu tadi akan lembut. Bagi saya, kata-kata motivasi amat penting untuk kanak-kanak. Bukan sekadar ucapan-ucapan kosong yang mungkin baik, tetapi adalah kata motivasi dan semangat! Kata-kata motivasi sangat baik untuk membina kepercayaan diri kepada kanak-kanak. Ianya akan membantu mereka berdikari dalam melakukan sesuatu perkara dan juga dalam banyak keadaan. Dalam masa yang sama keyakinan diri akan terbina secara automatic.

Sifat yakin diri akan mencetuskan beberapa lagi sifat positif yang lain. Kanak-kanak akan jadi lebih berani, tidak pemalu (malu bertempat), sentiasa ingin mencuba, sukakan cabaran dan suka mencari-cari dan mengambil tahu perkara baru yang mereka belum tahu. Sifat ini amat baik bagi perkembangan kanak-kanak. Perkara baru yang mereka tahu adalah ilmu baru yang mereka perolehi. Samada baik atau buruk, bergantung kepada factor persekitaran dan pengaruh minda mereka. Oleh sebab itu, sebagai ibu bapa atau golongan yang mengasuh atau mendidik mereka, sebaiknya minda mereka yang paling utama perlu diasuh.

Saya mempunyai seorang anak murid yang mengalami proses motivasi sejak awal kemasukannya di sekolah dulu. Dia seorang yang lasak, dari segi pembelajaran dia tidak ketinggalan tapi agak lambat memperolehi apa yang diajarkan. Berbanding pelajar lain yang seumur dengannya, dia agak terkebelakang. Semasa sesi persekolahan bermula pada awal tahun dulu, dia sering menangis ke sekolah, mengamuk, sampai seorang guru saya pernah ditendang olehnya diperut. Mujur guru itu tidak hamil.

Setiap hari dia perlu dipujuk. Ibu atau bapanya perlu menuruti apa yang dimahukannya sebelum sampai ke sekolah. Bila sampai di sekolah, dia akan memberi banyak alasan supaya dia tidak mengikuti aktiviti yang dibuat di sekolah. Saya bertanya pada ibunya bagaimana cara memujuk di rumah. Dia perlu dibelai, dipuji-puji.

Saya melayan kehendaknya pada minggu pertama. Saya biarkan jika dia mahu tidur, main atau makan. Walaubagaimanapun dia perlu mengikut peraturan sekolah. Saya ajak dia berbual-bual.
 
“Aiman suka tak datang sekolah?”
Dia mengangguk, dan menjawab..
“Dulu Aiman pergi sekolah dengan abang..”
“Sayang ibu?”
Angguk.
“Sayang ayah?”
Angguk lagi.
“Ok, kalau Aiman sayang ibu dengan ayah, Aiman kena belajar betul-betul tau.”
“Cikgu, ibu Aiman kata nanti Aiman sekolah kat pondok.”
“Ooo…Aiman nak jadi ustaz ye?”
Aiman angguk tersenyum.
“Kalau nak jadi ustaz lagi kena belajar pandai-pandai, kena tau semua. Nampak tak ibu Aiman bagi duit kat cikgu tadi? Ibu Aiman bagi upah kat cikgu, suruh cikgu ajarkan dan jaga Aiman. Kesian ibu, cari duit untuk Aiman sekolah, tapi Aiman asyik nangis je. Kesian kan? Sebab tu kat sini Aiman kena dengar cakap cikgu dan ikut peraturan sekolah. Baru cepat pandai…” Saya mengelus-elus kepalanya.
Aiman tersengih-sengih.
“Aiman kan hebat, rajin, pandai. Jadi lepas ni taknak nangis lagi, jangan mengamuk-amuk datang sekolah ye..?! Janji tau..”
Aiman mengangguk-anggukkan kepala lagi.


Selepas daripada itu, dia tidak menangis lagi ke sekolah. Semakin hari sikapnya semakin baik dan sopan, walaupun agak lasak. Biasalah…budak lelaki. Bila dia buat perangai, guru-guru akan kata ‘Aiman kan hebat’. Aiman semakin rajin, hinggakan semua cikgu puji dan sayang padanya. Bersungguh-sungguh dia belajar, walaupun belum masanya dia mendapat apa yang dipelajari. Begitu berkesannya kata-kata motivasi dalam jiwa anak-anak. Mungkin juga makbulnya doa ibu bapa mereka. Saya doakan agar anak-anak yang pernah belajar dengan saya menjadi hamba Allah, anak yang soleh dan solehah. Wallahua’lam…